Raja Bomoh bertaubat, mengaku ritual hanya drama


Ibrahim Mat Zin atau lebih dikenali sebagai 'Raja Bomoh' memohon maaf selepas membuat pengakuan bersalah dan bertaubat atas beberapa amalan ritual yang dilakukannya sebelum ini.


Katanya, ada pihak yang mengarahkannya supaya melakukan lima drama termasuk ketika insiden kehilangan pesawat penerbangan Malaysia MH370.

“Orang ini suruh saya membuatkan lima drama. Antaranya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pasal jerebu, mayat di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan di Bagan Lalang.

“Saya diarah buat, aksi goyang (teropong) semua tu tak nampak apa pun.. jangan silap... Saya dilatih untuk buat (aksi itu). Saya juga disuruh ambil kelapa buat macam bom,” katanya pada sidang media, di pejabat Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) di sini, semalam.

Menurutnya, semua aksi itu tidak ada bayaran dan dia melakukan semua itu demi rasa sayang dan kasihnya kepada agama, bangsa dan negara yang berbilang kaum ini.

“Saya tak tahu salah... Demi Allah demi rasul saya tak tahu salah... Kalau tahu salah saya tak buat

“Bukan ada bayaran pun... Saya ni orang lurus... Mereka suruh buat, tapi duit minyak kereta pun bayar sendiri.

“Mereka sedap (gembira) saya pula tidur lokap. Dua hari di Dang Wangi ( Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi) dan tiga hari di Jinjang (Lokap Balai Polis Jinjang). Saya berjanji takkan buat lagi... Saya tak nak jadi alat kepentingan orang lain,” katanya.

Menurutnya, dia tidak lagi mahu dikenali dengan panggilan Raja Bomoh dan menyesali segala perbuatannya sebelum ini. “Cukuplah sekadar panggilan Mahaguru Ibrahim Mat Zin,” ujarnya.


Terdahulu, beliau mengaku bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 7(a) Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997 (Akta 559) kerana menghina Islam atau menyebabkan Islam dipandang hina.

Permohonan maaf itu disaksikan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Al Bakri, Pengarah JAWI, Abdul Aziz Jusoh dan Ketua Pegawai Penguat Kuasa Agama JAWI, Wan Jaapar Wan Ahmad.

Ibrahim menarik perhatian ramai apabila muncul buat kali pertama kali di KLIA dengan melakukan ritual pelik selepas insiden kehilangan pesawat penerbangan Malaysia MH370.

Tidak cukup dengan itu, kelibat Ibrahim bersama pembantunya juga sering menarik perhatian ramai selepas itu berikutan beberapa kes besar yang berlaku di negara ini.

Ibrahim ditahan pegawai Jawi di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi pada 22 April lalu susulan aksi ritual terbaru dilakukannya di hadapan Institut Perubatan Forensik pada 13 Mac lalu, kononnya untuk ‘memagar’ Malaysia dari serangan Korea Utara.

Sumber - harian metro

No comments:

Post a Comment