Tiga hari lepas, telah tersebar luas di media media laman sosial dan berita online, berita mengenai kerajaan India yang telah memperkenalkan undang-undang baharu yang mana admin kumpulan WhatsApp yang menyebarkan berita palsu boleh dipenjarakan sekiranya sabit kesalahan.
Kerajaan di sana terpaksa melaksanakan hukuman sebegitu berikutan sebelum ini telah banyak kes melibatkan penyebaran berita palsu menerusi WhatsApp sehingga mencetuskan perasaan huru-hara dan cemas di kalangan penduduk negara tersebut.
Hari ini, Berita Harian memaparkan tajuk "Admin WhatsApp boleh dipenjara", dimana admin atau pentadbir tersebut berdepan tindakan undang-undang sekiranya gagal membendung penyebaran maklumat palsu dalam kalangan ahli sehingga menggugat keselamatan negara.
Sambil memetik kenyataan Datuk Jailani Johari iaitu Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, tindakan undang-undang sedia ada di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 boleh dipertimbangkan untuk mengambil tindakan terhadap pentadbir terbabit.
Di bawah akta itu, pelbagai kesalahan boleh dikenakan tindakan seperti menyebarkan berita palsu, fitnah, menghasut, penipuan dan pendedahan komunikasi yang dilarang iaitu mendedahkan maklumat di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA).
Jailani berkata, pentadbir kumpulan WhatsApp perlu lebih bertanggungjawab mengawal ahlinya supaya tidak menyebarkan maklumat palsu dan seharusnya menjadi gate keeper menapis berita tidak sahih sebelum berkongsi dalam kumpulan aplikasi berkenaan atau disebarkan di medium media sosial lain.
Sementara itu, Timbalan Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd Yusof Abdul Rahman, berkata cadangan mengenakan hukuman terhadap pentadbir perlu dilaksanakan segera. Katanya, penyebaran maklumat palsu bukan sahaja menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat malah boleh menggugat keamanan negara.
Mohd Yusof bagaimanapun berkata, hukuman yang bakal dikenakan terhadap pentadbir terbabit tidak seharusnya terlalu berat sebaliknya diberi amaran untuk kesalahan pertama.
Katanya, banyak pendekatan lain boleh diambil untuk memantau penyebaran maklumat palsu seperti Akta Hasutan 1948, Akta Fitnah 1957, Akta Jenayah Komputer 1957 dan Kanun Keseksaan.
Sumber selanjutnya di : https://www.bharian.com.my/node/276393
No comments:
Post a Comment