Jika anda sedang membiak benih ikan yang kecil, antara cabaran yang anda akan hadapi ialah memberi makanan yang sepatutnya kepada benih ikan anda. Lebih-lebih lagi jika anda
membiak ikan betta, gapi atau gourami, anda akan berhadapan dengan anak ikan yang sangat halus dan sukar dilihat.
Makanan pertama yang diperlukan oleh benih ikan yang kecil ialah infusoria. Infusoria ialah terma yang merujuk kepada hidupan mikroskopik yang hidup di dalam tangki ikan, namun selalu tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan sebagai makanan kepada benih ikan.
Kebiasaannya pada keadaan seperti ini, kebanyakkan pembiak ikan akan membeli produk komersial seperti 'liquifry'. Walaupun kebanyakkan pembiak ikan menganggap liquifry adalah makanan kepada benih ikan, namun liquifry sebenarnya berfungsi sebagai makanan kepada infusoria yang ada di dalam tangki. Penggunaan liquifry membolehkan infusoria memakannya justeru mencambahkan bilangan infusoria di dalam tangki untuk di makan oleh benih ikan.
Infusoria sangat diperlukan oleh benih ikan yang kecil di waktu benih mula memasuki peringkat 'free swimming'. Ini kerana benih ikan di peringkat ini bersaiz kecil dan tidak mampu memburu atau menelan makanan hidup yang lebih besar. Pemberian baby brine shrimp (bbs) atau microworm juga kadang-kala masih terlalu besar untuk sesetengah benih ikan menelannya.
Maka untuk menyelesaikan masalah ini, bekalan infusoria perlulah sentiasa ada untuk diberikan kepada benih ikan di awal minggu kehidupannya. Cara terbaik untuk memastikan bekalan sentiasa ada ialah dengan mengkultur sendiri infusoria tersebut. Mengkultur infusoria adalah sangat mudah dan murah.
Apa itu infusoria?
Kita boleh sahaja memanggil infusoria sebagai plankton kecil di dalam air tawar kerana ia sememangnya begitu. Infusoria merujuk kepada apa-apa jenis hidupan mikroskopik atau hampir mikroskopik yang hidup di dalam air tawar. Senarainya terlalu banyak untuk dituliskan, namun antara jenis mikroskopik yang utama digunakan ialah:
Algae (Volvox)
Amoebas
Euglena
Paramecium
Rotifers
Stentor
Vorticella.
Infusoria sangat penting bagi pembiak ikan kerana kebanyakkan benih ikan sangat bergantung kepada hidupan mikroskopik sebagai sumber makanan di peringkat awal. Penyediaan bekalan infusoria juga boleh menjadi penyebab kepada kejayaan atau kegagalan keseluruhan populasi benih ikan.
Benih ikan yang kekurangan makanan pada peringkat awal boleh menyebabkannya terbantut dan hal ini sangat mengecewakan dan melemahkan semangat pembiak ikan kerana benih ikan yang terbantut tetap tidak akan menjadi lebih baik daripada benih ikan yang mendapat cukup makan.
Di mana infusoria boleh ditemui?
Infusoria boleh ditemui di hampir semua kawasan yang berair seperti kolam, tasik, longkang, malah juga terdapat di dalam lopak air di tepi jalan. Air minuman yang di saring adalah hampir bebas daripada organisma ini, begitu juga dengan air paip yang dirawat secara intesif juga hampir tidak mempunyai sebarang hidupan mikroskopik. Dunia infusoria adalah satu dunia yang kita tidak terfikirkan (beribu-beribu hidupan seni hidup dengan memakan antara satu sama lain di dalam setitik air)
Begitu juga di setiap tangki ikan mempunyai infusoria. Namun ramai penghobi tidak suka dengan air yang keruh atau air yang bertukar menjadi hijau. Setiap kali plankton bercambah dan memburukkan pemandangan tangki ikan, kita selalunya akan menyelesaikannya dengan menggelap, menggosok, menukar air dan ada juga yang meletakkan bahan kimia untuk membersihkan serta menjernihkan air.
Tangki yang selalu dibersihkan dengan cara begini biasanya tidak mempunyai jumlah infusoria yang mencukupi untuk dijadikan tangki pembenihan. Maka, kita perlu mengkultur sendiri infusoria sebagai bekalan makanan benih ikan.
Ada beberapa resepi untuk menghasilkan infusoria. Namun untuk memahami apa yang berlaku semasa pengkulturan infusoria, berikut adalah rumusannya
Plankton yang terbaik mungkin adalah rotifiers, namun yang paling biasa dan banyak ditemui di dalam air tawar ialah paramecium. Paramecium membiak melalui cara pembelahan kepada dua (aseksual) dan sedikit interaksi seks dari masa ke semasa. Strategi pembiakan ini membolehkan paramecium membiak dengan cepat dan kultur akan menjadi matang dalam masa hanya beberapa hari.
Paramecium dan semua plankton sel tunggal yang tidak menjalankan proses fotosintesis akan memakan bakteria yang menguraikan bahan organik yang terdapat di dalam air. Maka untuk mengkultur plankton ini, anda perlu menyediakan beberapa bahan organik yang boleh mereput seperti sayuran hijau atau dedaunan. Memulakan pengkulturan infusoria adalah sangat mudah caranya begini:
Sediakan bekas kaca atau plastik lutsinar bersaiz bebas. Kebaikkan menggunakan bekas lutsinar adalah untuk memudahkan kita melihat sama ada kultur sudah matang dan boleh digunakan. Bekas lutsinar juga membolehkan cahaya matahari untuk tembus ke dalam bekas.
Bekas perlulah mempunyai permukaan yang cukup luas untuk membolehkan penyerapan oksigen berlaku. Kadar oksigen yang mencukupi di dalam air sangat penting untuk mengelakkan bakteria tidak baik bercambah melebihi infusoria. Sekiranya anda bercadang melakukan pengkulturan di kawasan luar rumah, pastikan anda menutup bekas menggunakan jaring halus untuk mengelakkan jentik-jentik, larva pepatung dan lain-lain serangga daripada memasuki bekas.
Seterusnya masukkan air ke dalam bekas yang telah disediakan. Anda boleh menggunakan air paip yang telah dinyahklorin. Namun air yang terbaik untuk pengkulturan ialah air daripada tangki ikan sedia ada. Ini kerana, air di dalam tangki ikan anda sememangnya mempunyai sedikit atau banyak infusoria sedia ada di dalamnya, lebih-lebih lagi jika tangki akuarium anda mempunyai banyak tumbuh-tumbuhan di dalamnya maka jumlah infusorianya akan menjadi lebih banyak.
Anda juga boleh menggunakan air yang diperah daripada bio/sponge filter sedia ada. Namun pastikan air tangki anda tidak dirawat menggunakan apa-apa ubat atau bahan kimia sekiranya anda ingin menggunakkan air tersebut untuk mengkultur infusoria.
Kemudian, masukkan beberapa keping dedaunan/sayuran hijau yang direnyukkan ke dalam medium pengkulturan. Anda boleh menggunakan apa-apa sahaja bahan organik yang mudah mereput seperti daun salad, daun sawi, kulit pisang atau hirisan kentang. Namun penggunaan sayuran hijau adalah lebih baik memandangkan kulit pisang dan hirisan kentang boleh menyebabkan pembiakkan kulat dengan cepat.
Apabila semuanya telah disediakan, letakkan bekas berisi sayuran di tempat yang mendapat cahaya matahari yang kuat. Pastikan medium kultur mendapat cahaya yang kuat tetapi tidak dijemur di bawah pancaran matahari secara langsung untuk mengelakkan suhu meningkat panas. Anda boleh meletakkan medium di tepi tingkap ataupun di mana-mana tempat yang boleh menerima cahaya daripada matahari. Suhu yang optimum untuk medium kultur ialah sekitar 28-28.5 darjah celsius.
Dalam masa 1-3 hari pertama, anda dapat melihat medium kultur menjadi sangat keruh dan berlendir manakala baunya pula sangat busuk. Namun ia kemudian menjadi semakin jernih pada hari-hari berikutnya. Baunya juga tidak lagi menyegat dan bahan organik yang terurai kemudiannnya akan mendap di dasar medium. Pada ketika air mulai jernih dan jika anda mempunyai penglihatan yang baik serta dibantu oleh cahaya terang, anda sebenarnya boleh melihat infusoria di dalam medium kultur.
Infusoria kelihatan seperti partikel-partikel habuk yang bertebaran di serata medium, dan jika diperhatikan dengan teliti, anda dapat melihatnya berenang di dalam air. Apabila air di dalam medium kultur telah berubah menjadi jernih dan tidak lagi berbau kuat, anda sudah pun mempunyai infusoria dan boleh diberikan kepada benih ikan anda.
Selalu pastikan bekalan infusoria anda telah tersedia apabila benih ikan anda telah habis menyerap yolk serta mula memasuki peringkat free swimming. Juga pastikan anda mempunyai beberapa medium kultur supaya bekalan anda sentiasa ada dan tidak terputus.
Perlu diketahui bahawa penggunaan infusoria kepada benih ikan adalah sesuai untuk beberapa hari/minggu terawal penetasan. Apabila benih baru menetas, ia tidak akan makan dan hanya menyerap baki yolk (kuning telur) sehingga ia memasuki peringkat free swimming.
Pada peringkat ini, anda boleh mula memberikan infusoria sebagai makanan kepada benih. Namun untuk pembesaran yang lebih cepat dan mantap, anda perlu beralih kepada nauplius (baby brine shrimp), kutu air atau lain-lain nematod apabila benih sudah boleh memburu dan menelannya.
Untuk memberikan infusoria kepada benih ikan, anda boleh menyedut air jernih daripada medium kultur menggunakan picagari dan titiskan air berisi infusoria tersebut ke dalam tangki benih.
Cara lain yang lebih popular namun sedikit berisiko ialah dengan menuangkan separuh atau semua air kultur ke dalam tangki benih namun pastikan anda tidak menuang sisa organik reput ke dalam tangki benih.
Kredit kepada page fun betta.
No comments:
Post a Comment